Punca Sebenar Pemandu Ambulan Melawan Arus, Pengarah Jabatan Kesihatan Tampil Beri Respons!

Hari ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Dr Zainal Ariffin memberikan respon mengenai isu ini melalui Harian Metro. Baca penjelasan respon awal di bawah:



TINDAKAN drebar ambulans memandu secara melawan arus di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kelmarin seperti disebarkan dalam laman sosial bertujuan menyelamatkan nyawa seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Dr Zainal Ariffin Omar selepas menerima laporan mengenai kejadian itu, namun menegaskan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi menilai kewajaran tindakan pemandu terbabit.

Beliau berkata, mengikut laporan awal diterima, pemandu ambulans Hospital Raub dikatakan sebelum itu dalam perjalanan pulang selepas menghantar pesakit ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh.

“Kira-kira lima kilometer dari Plaza Tol Karak, mereka ternampak satu kemalangan membabitkan motosikal dan orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba meminta bantuan mereka,” katanya, semalam.


Menurutnya, pemandu ambulans berkenaan sudah melepasi lokasi kemalangan dan selepas membuat pertimbangan untuk menyelamatkan nyawa penunggang motosikal itu yang memerlukan rawatan segera, mereka berpatah balik ke lokasi kejadian.

“Keadaan itu menyebabkan mereka memandu secara melawan arus dan selepas mengambil penunggang motosikal itu, mereka kemudian menghantar mangsa ke Hospital Bentong,” katanya.

Pihaknya akan melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian itu termasuk melihat kewajaran pemandu terbabit memandu secara melawan arus seperti disiarkan dalam video di laman sosial bagi memberikan keadilan kepada semua.

“Kami akan melihat semula peraturan sedia ada dan tindakan tegas akan diambil jika didapati ia menyalahi peraturan dan undang-undang, namun lebih banyak masa diperlukan supaya insiden itu boleh disiasat secara menyeluruh termasuk mengenai dakwaan tiada siren dibunyikan ketika kejadian,” katanya.

Rakaman video mengenai sebuah ambulans Hospital Raub dipandu secara melawan arus di LPT dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) kelmarin, beberapa jam selepas kejadian itu dipercayai berlaku hingga menerima pelbagai kritikan termasuk mengecam tindakan pemandu terbabit.

Video berdurasi 28 saat yang dirakam menggunakan kamkoder kenderaan itu menunjukkan sebuah kenderaan yang dipandu di lorong kanan terpaksa membrek mengejut dan mengelak ke kiri jalan apabila ambulans terbabit tiba-tiba muncul dari arah bertentangan.

Sehingga jam 3.42 petang semalam, video berkenaan sudah ditonton sebanyak 70,476 kali serta dikongsi seramai 2,775 pengguna FB. 


Sumber: mymediahubonline.blogspot.com

Thanks For Your Comment Here
 
Free Backlinks